ISKANDAR PUTERI, 10 April (Bernama) -- Polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata melibatkan objek menyerupai pistol dalam tempoh 24 jam, dengan penahanan seorang lelaki di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga India berusia 35 tahun mendakwa disamun seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol di Taman Nusa Bestari, Skudai.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Balai Polis Nusa Bestari menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun, pada hari sama.
"Hasil semakan mendapati lelaki itu memiliki 11 rekod jenayah lampau manakala hasil ujian air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine.
"Polis turut merampas sebuah motosikal, satu topi keledar, objek menyerupai sepucuk pistol berserta kelopak, telefon bimbit dan wang tunai RM68," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata lelaki itu direman hingga 15 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA