KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Briged Tenggara mematahkan cubaan membawa masuk 6,000 anak pokok pelbagai jenis yang disyaki mengandungi serangga perosak dan penyakit, dalam satu operasi di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan pada 6.45 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati anak-anak pokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan dibawa oleh seorang lelaki berumur 21 tahun.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM700,000, dan kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) kerana membawa tanaman yang berpotensi membawa ancaman kepada ekosistem pertanian negara.
"Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
PGA turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memperkukuh kawalan sempadan dan memastikan tanaman negara bebas daripada ancaman serangga perosak serta penyakit berbahaya.
-- BERNAMA