PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengemas kini dokumen berhubung pelaksanaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) di portal rasminya untuk rujukan pembayar cukai.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCGF), Garis Panduan TCGF serta soalan-soalan lazim (FAQ) terkini telah dimuat naik di portal www.hasil.gov.my.
Menurut LHDN, ia melibatkan penambahan perenggan berkenaan Rangka Kerja Kawalan Percukaian dan Pelaporan Tadbir Urus Percukaian serta Kawalan dan Pengurusan Risiko.
“Pengemaskinian dokumen Garis Panduan TCGF melibatkan penyelarasan semula dokumen yang memberikan penekanan kepada pelaksanaan Program TCG.
“Ini termasuk penjelasan mengenai pemantauan dan tanggungjawab peserta yang telah disahkan penyertaannya dalam program tersebut,” menurut kenyataan itu.
LHDN menjelaskan pengemaskinian berkenaan dibuat berdasarkan kajian amalan terbaik pelaksanaan berkesan Program TCG serta maklum balas yang diterima menerusi sesi libat urus bersama agensi kerajaan, organisasi, pihak berkepentingan dan pengamal percukaian.
Program TCGF dilancarkan pada 1 Mac 2022 sebagai asas bagi LHDN dan pembayar cukai untuk membina dan mengekalkan hubungan kerja yang lebih telus bagi memastikan proses pematuhan cukai yang adil dan berkesan.
-- BERNAMA