SUKAN

BAC 2025: AARON-WOOI YIK WAKIL TUNGGAL NEGARA DI SEPARUH AKHIR

11/04/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Apr (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara yang berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China selepas menumpaskan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di pusingan suku akhir hari ini.

Juara dunia 2022 itu tidak berdepan masalah apabila memperoleh kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 30 minit.

Pilihan keenam kejohanan itu dijadual bertemu wakil tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang bagi memburu slot ke perlawanan akhir Ahad ini.

Terdahulu Wei Keng-Wang Chang mara selepas menundukkan gandingan Indonesia Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-19, 21-19 dalam tempoh 42 minit.

Dalam pada itu hasrat pilihan pertama kejohanan dari Malaysia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi.

Bagaimanapun Bo Yang-Liu Yi tidak diberi laluan mudah oleh beregu utama negara itu apabila dipaksa bermain tiga set sebelum memenangi aksi itu 21-16, 18-21, 22-20 yang berlangsung lebih satu jam.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan