Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 13 April (Bernama) -- Pastinya rakyat China diselubungi kebimbangan berikutan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan kepada republik itu sejak minggu lepas sehingga menggoyahkan pasaran dan mencetuskan kerisauan mengenai kemelesetan global.
Dengan kadar tarif ke atas kuasa ekonomi terbesar di Asia itu yang mencecah 145 peratus, tidak dapat dinafikan bahawa perniagaan tempatan dan perusahaan asing mula memberikan isyarat mengenai potensi impak buruk daripada ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing.
Dalam mengenakan tarif terhadap 168 negara dan menyifatkannya sebagai "Hari Pembebasan Amerika," Presiden AS Donald Trump telah mewajarkan levi import yang meluas untuk bertindak balas dengan negara yang didakwanya telah secara konsisten "mencuri dan mencemarkan" ekonomi AS, yang didakwa beliau sebagai "mengakibatkan” ketidakseimbangan perdagangan yang berterusan dan amalan tidak adil.
Bagaimanapun, pendekatan tegas beliau bagi menyelesaikan masalah perdagangan AS -- khususnya dengan mengenakan tarif tertinggi terhadap China, telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesan yang lebih meluas terhadap mata pencarian rakyat, prestasi industri dan sentimen pelaburan asing.
Apa yang lebih mengejutkan, walaupun Trump telah menangguhkan pelaksanaan tarif selama tiga bulan kepada semua negara lain, China secara jelasnya tidak tersenarai daripada pengecualian ini.
Tarif akan meningkatkan kos, melemahkan kuasa beli dan mengurangkan margin keuntungan.
Norman Lim, ekspatriat berusia 42 tahun yang menetap di Beijing selama sedekad berkata, isu itu tidak hanya tertumpu kepada dasar atau syarikat besar -- kebanyakan rakyat turut tertekan memandangkan kenaikan harga terutamanya bagi barangan import dikhuatiri mengurangkan kuasa beli mereka.
Lim yang bekerja di syarikat elektronik bersaiz sederhana di Daxing -- kawasan pinggir bandar di selatan Beijing berkata, tarif yang lebih tinggi mungkin memaksa syarikat untuk mengurangkan pengeluaran atau menangguhkan rancangan pengembangan.
"Kami mempunyai pembekal dan pelanggan di AS dan setiap pusingan tarif baharu mengurangkan margin keuntungan kami," katanya kepada Bernama.
Selain itu, sentimen dalam kalangan persatuan industri di China telah bertukar pesimis memandangkan mereka menentang keras keputusan AS untuk menghapuskan pengecualian cukai bagi import bernilai rendah dari tanah besar China dan Hong Kong berkuat kuasa 2 Mei 2025.
Majlis Tekstil dan Pakaian Kebangsaan China menegaskan, dasar pengecualian tarif melibatkan bungkusan kecil adalah langkah memudahkan perdagangan yang diiktiraf di peringkat global.
Menurutnya dasar itu tidak sewajarnya dikaitkan dengan dasar tarif, khususnya dalam semangat mempromosikan perdagangan bebas.
Tindakan tersebut menjejaskan daya tahan rantaian bekalan tekstil global dan memberi kesan kepada semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan dan pengguna.
Persatuan Ekspres China, yang mewakili syarikat pos dan penghantaran ekspres di negara itu, turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan AS.
Persatuan itu berharap agar AS mengambil langkah sewajarnya untuk mewujudkan persekitaran yang adil dan kondusif bagi perkembangan e-dagang rentas sempadan dan perkhidmatan penghantaran antarabangsa.
Presiden Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah di China, Jens Eskelund turut menyuarakan pandangan yang sama bahawa tarif itu boleh mengganggu operasi rantaian bekalan banyak syarikat Eropah yang beroperasi di China.
Dewan perniagaan itu dianggotai lebih 1,700 ahli di seluruh China termasuk syarikat terkemuka seperti Volkswagen, Maersk, Siemens dan Nokia.
Susulan pengumuman tarif timbal balas tertinggi oleh Trump terhadap China, Beijing bertindak balas dalam masa beberapa hari dengan mengenakan langkah balas tersendiri.
Tindakan ini membawa kepada perbalahan tarif dua hala, dan setakat ini, China telah membalas tarif 145 peratus yang dikenakan terhadapnya dengan duti import 125 peratus ke atas barangan AS.
China turut mengisytiharkan pihaknya tidak gentar dengan tindakan bersifat "buli" oleh AS ini dan akan terus melawan sehingga akhirnya dalam perang perdagangan ini.
China Fokus Perkukuh Pasaran Domestik
Sebagai reaksi serta kesan terhadap perdagangan yang semakin memuncak, China menzahirkan komitmen baharu untuk memperkukuh pasaran domestik sebagai langkah mengurangkan kesan kejutan ekonomi luar serta kebergantungan terhadap perdagangan luar.
Felo penyelidik di Institut Tadbir Urus Negara, Universiti Sains dan Teknologi Huazhong dan Institut Penyelidikan Eurasia, Universiti Renmin China, Wang Peng berkata kalangan penggubal dasar di China kini mempercepat usaha untuk meningkatkan permintaan dan penggunaan domestik bagi mengatasi tekanan perdagangan luar AS.
“China kini sedang melabur dalam penyelidikan dan pembangunan domestik, mempelbagaikan pasaran pasaran, mengukuhkan kerjasama antarabangsa, memperluas rakan dagangan serta menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam,” katanya.
Pengarah Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Naib Presiden Akademi Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme dengan Ciri-ciri China Era Baharu Prof Dr Wang Yiwei turut berkongsi pandangan bahawa China merupakan penyokong kuat ASEAN dalam perdagangan dan pelaburan.
“Menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan ASEAN adalah matlamat utama kami dalam usaha mempelbagaikan ekonomi.
“Oleh itu, tidak perlu khuatir, sebaliknya hadapilah cabaran dengan berani -- jadi lebih berdikari, bina lebih banyak hubungan dengan rakan lain, pelbagaikan rantaian bekalan dan kurangkan risiko kebergantungan terhadap AS,” katanya sambil menyeru rakyat China dan negara lain yang terkesan dengan tarif AS untuk memperkukuh ekonomi dan daya saing masing-masing bagi menentang tekanan dari AS.
-- BERNAMA