AM

GEMPA MYANMAR: MALAYSIA HANTAR 35 PEGAWAI PERUBATAN ATM KE MYANMAR

13/04/2025 02:03 PM

JOHOR BAHRU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Malaysia akan menghantar 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melaksanakan misi kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda Myanmar pada 28 Mac lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini adalah susulan keputusan kerajaan untuk secara prinsip bersetuju menyediakan Hospital Medan Malaysia di negara berkenaan.

"Namun, kapasiti dan lokasi Hospital Medan ini akan ditentukan kemudian selepas menerima kebenaran daripada kerajaan Myanmar," katanya pada sidang media selepas merasmikan BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri di Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 35 pegawai perubatan akan dihantar, dengan tarikh penghantaran masih dalam perancangan dan kapasiti pesakit ditentukan berdasarkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN lain yang turut menubuhkan Hospital Medan.

"Hospital Medan ini bertujuan memberikan rawatan ortopedik dan trauma, termasuk pembedahan kecemasan kepada mangsa gempa bumi yang mengalami kecederaan seperti patah tulang, bagi mengurangkan risiko kecacatan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga akan mengambil peluang untuk bekerjasama dengan pasukan perubatan Myanmar dalam aspek pengukuhan keupayaan kesihatan mereka.

“Kita sudah bersedia, hanya menunggu kebenaran dan isyarat dari Myanmar tentang lokasi penghantaran,” tambahnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Petroleum Marketing Azizul Azily Ahmad.

Khaled juga berkata Malaysia akan meminta kerajaan Myanmar untuk memastikan lokasi Hospital Medan yang akan dibina adalah selamat, bagi memastikan keselamatan pasukan perubatan Malaysia daripada ancaman puak.

“Walaupun Myanmar bersetuju untuk melakukan gencatan senjata, kadangkala ia dicabul. Oleh itu, kita akan meminta jaminan keselamatan bagi pegawai perubatan kita,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata Malaysia secara prinsip telah bersetuju untuk menyediakan Hospital Medan Malaysia di Myanmar, dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan