AM

MEDIA BERKUMPUL AWAL DI KEDIAMAN TUN ABDULLAH

15/04/2025 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) --  Beberapa pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Persiaran Tuanku Jaafar seawal 6.30 pagi bagi membuat liputan pemergian negarawan itu.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati beberapa kenderaan yang dipercayai membawa orang kenamaan dilihat memasuki pekarangan rumah Perdana Menteri kelima berkenaan.

Pihak media bagaimanapun, tidak dibenarkan memasuki kediaman itu.

Abdullah, 85, yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah", menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

IJN dalam kenyataan memaklumkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital itu pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara hari ini.

Sementara itu, menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin memberitahu media bahawa jenazah dijangka dibawa ke Masjid Negara pada 8.30 pagi ini untuk dikafankan dan disolatkan.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah di Dewan Solat Utama majid berkenaan bermula pada 11 pagi hingga 1 tengah hari.

"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara," menurut kenyataan itu malam tadi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan