KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama-Xinhua) -- Pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama sedang berjalan lancar, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dalam temu bual bertulis dengan Xinhua baru-baru ini.
Beliau berkata di bawah bimbingan pemimpin kedua-dua negara, China dan Malaysia akan terus menjadi jiran rapat yang terikat dengan persahabatan yang berkekalan, rakan yang ikhlas dalam pembangunan bersama, sahabat seperti saudara serta kuasa penting untuk keamanan, sekali gus membawa masa depan yang lebih cerah untuk hubungan dua hala,
Hubungan China-Malaysia kekal teguh dan berdaya tahan selama lebih setengah abad, katanya.
Pada peringkat awal hubungan diplomatik, pemimpin Malaysia membandingkan hubungan itu dengan "anak pokok yang baru ditanam."
Hari ni, hubungan itu telah berkembang menjadi pohon rendang berakar tunjang dan bercabang subur, menunjukkan kemajuan besar kedua-dua negara menuju masa depan bersama.
Menurut Xinhua, Ouyang menekankan pertukaran peringkat tinggi sebagai pemacu utama dalam pembentukan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama yang bertunjangkan kepercayaan bersama yang mendalam.
Pada 2013, lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia telah meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik yang komprehensif.
Pada 2023, Presiden Xi bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Beijing dan kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama-sama membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama, sekali gus memetakan pelan tindakan untuk hubungan dua hala.
Ouyang berkata kerjasama praktikal adalah asas kepada pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama yang menampilkan manfaat bersama dan hasil menang-menang.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar China serta sumber import terbesar dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala mencecah paras tertinggi baharu sebanyak US$212.04 bilion, menandakan peningkatan 11.4 peratus tahun ke tahun.
Produk Malaysia sangat popular di China, khususnya durian segar, kata Ouyang.
Malaysia juga merupakan satu daripada destinasi utama China untuk pelaburan langsung, dengan momentum kukuh dalam kerjasama tenaga produktif berkualiti baharu, tambahnya, sambil memberi contoh seperti kenderaan tenaga baharu China yang mendapat sambutan di Malaysia serta penubuhan pusat data oleh syarikat China.
Pembuat kereta seperti Geely dan Chery telah membina kilang pembuatan tempatan, memupuk integrasi yang lebih mendalam antara pengeluaran dan rantaian bekalan kedua-dua negara, katanya, sambil menambah firma seperti GDS Holdings dan Chindata Group sedang membangunkan pusat data di Malaysia untuk menyokong transformasi digital negara.
Ouyang turut menekankan peranan penting pertukaran antara rakyat dalam usaha membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama yang berteraskan persefahaman bersama.
Hubungan sejarah turut menghubungkan rakyat kedua-dua negara, termasuk kisah pelayar terkenal China Laksamana Zheng He yang lima kali berkunjung ke Melaka dalam tujuh ekspedisi maritimnya, yang amat dikenali di Malaysia.
Sejak menjalin hubungan diplomatik, kedua-dua negara bersama-sama menghadapi cabaran seperti tsunami Lautan Hindi, gempa bumi Wenchuan dan pandemik COVID-19, sekali gus mengukuhkan lagi ikatan persahabatan mereka.
Susulan pelaksanaan dasar pengecualian visa timbal balik pada akhir 2023, Malaysia menerima hampir 3.8 juta pelancong China pada 2024, dengan lebih 500 penerbangan mingguan antara kedua-dua negara, kata Ouyang.
Bulan lepas, filem China "Ne Zha 2" ditayangkan di Malaysia dan berjaya mencatat rekod pecah panggung baharu bagi filem China di pasaran tempatan.
Ouyang berkata China dan ASEAN tidak dapat dipisahkan sebagai jiran yang baik, rakan karib dan rakan kongsi yang boleh dipercayai.
Dengan Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi bergilir ASEAN pada 2025, Duta China itu menyatakan harapan agar ASEAN yang selama ini memperjuangkan multilateralisme dan dasar terbuka, dapat bekerjasama rapat dengan China untuk terus maju dalam semangat kejiranan baik dan kemakmuran bersama.
Beliau turut menegaskan sokongan teguh China terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta komitmen China dalam membina komuniti China-ASEAN yang lebih erat dengan masa depan bersama dan bersama-sama mewujudkan tanah air yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah dan harmoni.
Duta China itu turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan usaha bersama, China dan ASEAN akan terus memperkukuh kerjasama mesra, seterusnya menyumbang kepada pembinaan rantau dan dunia yang lebih makmur dan indah.
-- BERNAMA-XINHUA