KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari bahawa projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang diperoleh syarikatnya bukan satu kebetulan.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, berkata syarikat berkenaan mendapat kelebihan dalam memasuki tender kerana beliau sahaja yang menghadiri tiga mesyuarat pada 2011 berkaitan projek itu.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Wan Shaharuddin: Akhirnya siapa yang dapat projek itu?
Zarul Ahmad: Saya.
Wan Shaharuddin: Mengambil kira semua itu, adakah ia satu kebetulan?
Zarul Ahmad: Tidak.
Wan Shaharuddin: Adakah Datuk Zarul rugi dalam projek itu?
Zarul Ahmad: Tidak.
Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata beliau tidak berdendam dengan Lim dan terhutang budi dengan Ahli Parlimen Bagan itu yang membantunya mendapatkan keuntungan.
Kepada soalan Wan Shaharuddin mengenai siapakah yang rugi, Zarul Ahmad menjawab: “Kajian mengenai projek tersebut belum siap, namun saya telah menerima dua lot tanah, boleh cakap kerajaan negeri (Pulau Pinang) yang rugi dan sehingga kini reka bentuk terperinci projek tersebut belum siap lagi”.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Mei ini.
-- BERNAMA