Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini berikutan kenaikan di COMEX apabila peniaga berhati-hati memantau keadaan tarif, kata penganalisis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas dilihat didorong oleh situasi terlebih beli, dengan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada pasaran ke arah konsesi tarif atau menunggu situasi seterusnya.
“Harga emas tidak berubah, menunggu langkah Washington yang seterusnya. Walaupun dolar AS masih dijangka berada pada tahap rendah dalam jangka panjang, dalam jangka pendek, peniaga mencari petunjuk dasar yang jelas,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semasa April 2025 naik kepada US$3,237.10 setiap auns troy daripada US$3,233.40 setiap auns troy pada Isnin manakala Mei 2025 meningkat kepada US$3,247.50 setiap auns troy daripada US$3,243.80 setiap auns troy sebelum ini.
Jun 2025, Julai 2025 dan Ogos 2025, masing-masing meningkat kepada US$3,261.60 setiap auns troy daripada US$3,256.30 setiap auns troy sebelum ini.
Jumlah dagangan naik kepada 730 lot daripada 330 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 754 kontrak daripada 364 kontrak.
Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 14 April, harga emas fizikal sebanyak US$3,204.20 setiap auns troy.
-- BERNAMA