SEPANG, 16 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menafikan dakwaan pihaknya menyediakan rumah sewa sementara di kawasan terpencil kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dalam kejadian 1 April lepas.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata penempatan sementara yang ditawarkan adalah berdasarkan kekosongan rumah di seluruh negeri selain mangsa bebas memilih lokasi sesuai dengan keperluan mereka.
Mengambil contoh rumah sewa sementara di Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan di sini, beliau berkata sebanyak 100 unit kekosongan disediakan untuk mangsa yang terjejas melalui skim SMART Sewa Selangor.
“Kita beri kelebihan kepada mereka (mangsa) untuk memilih (rumah untuk disewa)… ia terpulang kepada mangsa (untuk memilih) mana yang lebih selesa.
“… tetapi apa kita tawarkan adalah rumah (baharu) dan bukan rumah yang telah diguna atau telah diduduki tetapi rumah baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci penempatan sementara kepada dua mangsa di sini hari ini.
Sebelum ini, wujud dakwaan kononnya kerajaan negeri itu menawarkan rumah sementara kepada mangsa insiden Putra Heights di kawasan terpencil dan jauh daripada kediaman mereka.
Pada Isnin, Borhan berkata Kerajaan Negeri Selangor menawarkan 100 unit rumah sewa sementara dengan kadar RM850 sebulan di Pangsapuri Sri Suria di sini kepada mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights.
Borhan berkata setakat ini, pihaknya menerima 75 permohonan bagi penempatan sewa di Pangsapuri Seri Suria dan proses berkaitan sedang dilaksanakan bagi membolehkan mangsa yang layak tinggal di perumahan itu.
“Kita lihat kepada mereka yang memerlukan rumah dan belum ada memiliki rumah dan (jika) kita dapati mereka ini layak, kita boleh pertimbangan terus masuk dan tidak perlu bayar deposit sebab ni kes khas.
“Ada juga lagi proses kita terpaksa semak dengan pendaftaran di pejabat daerah sebab seperti yang saya sebut lagi takut mungkin kita terlepas pandang atau ada yang mengambil kesempatan. Kita tidak mahu nanti timbul masalah,” katanya.
Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah dan 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah Puchong.
-- BERNAMA