WASHINGTON, 16 April (Bernama-dpa) -- Menteri-menteri Luar negara Kumpulan Tujuh (G7) pada Selasa menyeru kepada pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di Sudan, berikutan konflik berdarah antara Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan Rapid Support Forces (RSF) yang kini memasuki tahun ketiga sejak ia tercetus pada April 2023.
Dalam kenyataan bersama, para menteri dari Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah menyeru agar pihak bertelagah kembali ke meja rundingan untuk menghentikan pertempuran yang berpanjangan.
“Rakyat Sudan, khususnya wanita dan kanak-kanak sedang menghadapi krisis kemanusiaan dan perpindahan terbesar di dunia,” menurut kenyataan itu.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan lebih 12 juta rakyat Sudan menjadi pelarian, manakala 24.6 juta lagi kini berdepan krisis kebuluran yang teruk.
“Ketika kebuluran terus merebak di Sudan, negara-negara G7 amat bimbang dengan laporan menjadikan kelaparan sebagai senjata perang terhadap orang awam. Tindakan sedemikian jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Organisasi hak asasi manusia turut menuduh kedua-dua pihak bertelagah melakukan jenayah perang termasuk keganasan seksual, serangan terhadap orang awam dan pembersihan etnik.
Kenyataan G7 dikeluarkan ketika lebih 20 negara berhimpun di London dalam satu persidangan bantuan antarabangsa bagi menangani krisis Sudan.
Jerman mengumumkan komitmen bantuan sebanyak €125 juta (US$142 juta) untuk Sudan dan negara-negara jiran yang terkesan.
Banyak pertubuhan antarabangsa sebelum ini menyuarakan kekecewaan kerana konflik Sudan tidak mendapat perhatian global setanding krisis di Timur Tengah dan Ukraine — baik dari segi liputan media mahupun bantuan kewangan.
-- BERNAMA-dpa