KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali utama perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang, telah mengeluarkan (menurunkan) sebuah visual iklan yang dipaparkan pada tren perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling selepas menerima maklum balas orang ramai.
Menurut kenyataan Prasarana hari ini, iklan terbabit yang mempromosikan produk penjagaan diri telah mengundang pelbagai reaksi, meskipun kandungan asalnya bertujuan menggambarkan situasi harian pelbagai latar belakang rakyat Malaysia dalam menggunakan pengangkutan awam.
Kenyataan itu memaklumkan iklan berkenaan bertujuan memaparkan kepentingan penggunaan produk penjagaan diri dan tidak menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu.
“Ia juga telah melalui proses yang sewajarnya, termasuk semakan oleh pihak dalaman dan luaran, merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial, sebelum visual dicetak dan dipaparkan.
“Bagaimanapun, visual iklan telah dikeluarkan daripada tren perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling setelah menerima maklum balas daripada pengguna,” menurut kenyataan itu.
Sebagai pengendali pengangkutan awam yang bertanggungjawab, Prasarana menjelaskan pihaknya mengambil iktibar insiden itu dan akan memperketat proses semakan bagi memastikan visual daripada pengiklan tidak akan menimbulkan isu sensitif kepada orang ramai.
“Prasarana menghargai maklum balas dan pandangan masyarakat terutamanya apabila ia boleh disalah tafsir sebagai suatu bentuk sasaran kepada individu atau komuniti tertentu.
“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan keprihatinan orang ramai yang berterusan terhadap penggunaan pengangkutan awam,” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, beberapa pengguna media sosial meminta Prasarana menjelaskan tindakan mereka memaparkan sebuah iklan yang didakwa tidak menjaga sensitiviti kaum dan agama kerana memperlihatkan simbol keagamaan dalam kandungan iklan berkenaan.
-- BERNAMA