AM

TIADA CADANGAN TANGGUH FI LESEN HOTEL MENGIKUT KADAR ASAL - PEMBANTU MENTERI

16/04/2025 03:10 PM

KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak bercadang menangguhkan pengembalian kadar fi lesen seperti digariskan di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966 atau melaksanakan kutipan secara berfasa, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata langkah ini diambil untuk keseragaman tindakan ke atas semua kelas hotel dan memudahkan pelaksanaan proses kutipan fi lesen oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kerajaan negeri percaya pengembalian kadar lesen ini tidaklah membebankan pengusaha hotel jika dilihat daripada nilai yang dikenakan kepada 174 pengusaha hotel kelas 2 dan 3 berbanding peniaga-peniaga kecil yang lain,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) yang bertanya tentang semakan semula itu berikutan pemilik hotel kelas 2 dan 3 dakwanya berdepan tekanan kewangan.

Abidin berkata sebagai contoh, fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel dihuni hanyalah RM4.65 sehari bagi kelas 1, RM2.65 (kelas 2) dan RM1.30 bagi kelas 3.

“Sekiranya bilik ini tidak dihuni, tiada bayaran fi dikenakan. Jika dibandingkan dengan penjaja di pasar malam atau bangunan sekitar bandar raya Kota Kinabalu, mereka dikenakan caj sebanyak RM3 sehari setiap lot. Secara relatifnya kadar fi lesen hotel ini masih pada paras yang rendah,” katanya.

Beliau berkata hasil daripada kutipan fi lesen yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan yang lebih proaktif di sekitar bandar raya ini, sekali gus memastikan Kota Kinabalu terus menjadi tarikan kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Sebelum ini, DBKK mengumumkan telah mengembalikan pengenaan kadar asal fi lesen mengikut formula yang dinyatakan dalam Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966 berkuat kuasa 1 Jan lepas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan