KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 April untuk mengetahui status laporan mental seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian di Kampung Sungai Penchala, dua tahun lepas.
Hakim K Muniandy menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memaklumkan bahawa laporan mental Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali Omari, 44, telah siap dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk mengambil laporan itu.
“Pegawai penyiasat diarahkan untuk mengambil laporan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Kes ini telah pending sejak Ogos tahun lepas, oleh itu, saya tetapkan satu minggu untuk mendapatkan laporan itu,” kata Hakim Muniandy.
Terdahulu, Zaileen Nadia berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai status laporan mental itu oleh pegawai penyiasat.
Prosiding itu turut dihadiri peguam Mohd Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi.
Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini pada 7.10 dan 7.20 malam, 9 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat suami isteri warga emas ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh selepas berlaku pergaduhan antara lelaki berkenaan dengan ibu bapanya itu.
-- BERNAMA