KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Tarif timbal balik Amerika Syarikat dan kesannya kepada ekonomi dunia antara yang dibincangkan dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatannya dari Jepun Shigeru Ishiba, hari ini.
Anwar berkata menerusi perbualan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama pimpinan negara ASEAN, selain menyatakan kesepakatan dan kebersamaan untuk meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai isu tersebut.
“Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid.
“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata perbincangan bersama Ishiba petang ini dibuat selepas Istiadat Sambutan Negara Presiden China Xi Jinping pagi ini.
Selain itu Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada Ishiba di atas kehilangan nyawa rakyat negara itu dalam kejadian gempa di Myanmar 28 Mac lepas.
Anwar berkata Malaysia juga menghargai usaha Jepun yang turut menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula Myanmar.
“Hubungan Malaysia-Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik,” katanya.
Anadolu Ajansi memetik laporan Myanmar Now, setakat Selasa angka kematian akibat gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter yang melanda Myanmar kini meningkat kepada 3,706 orang, dengan 5,017 lagi cedera dan 130 masih hilang.
-- BERNAMA