Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu bagi hari ketiga berturut-turut seiring dengan harga kacang soya lebih rendah di di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran untuk beberapa minggu akan datang turut menyebabkan harga komoditi itu lebih rendah.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,950 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,200 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata walaupun terdapat pemulihan memberangsangkan dalam niaga hadapan minyak kacang soya CBOT semalaman, separuh pertama April yang kukuh dan prestasi eksport minyak sawit Malaysia, niaga hadapan MSM ditutup rendah pagi ini berikutan kerugian dalam niaga hadapan minyak kacang soya CBOT dan Bursa Komoditi Dalian semasa waktu dagangan Asia.
“Secara makro, ia kelihatan masih tidak stabil dan penuaian kacang soya Amerika Selatan yang lebih kukuh menghalang percubaan pemulihan dalam pasaran minyak sawit.
Anilkumar berkata juruukur kargo Intertek Testing Services (ITS) menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-15 April pada 491,984 tan, meningkat sebanyak 16.95 peratus, manakala AmSpec pula mengunjurkan pada 450,657 tan, naik sebanyak 13.55 peratus daripada anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 hingga 15 Mac.
“Pasaran kini menunggu separuh pertama anggaran pengeluaran April oleh Persatuan Pengilangan-Pengilang Buah Sawit Selatan Semenanjung (SPPOMA).
Beliau berkata Malaysia telah menyemak harga rujukan minyak sawit bagi Mei 2025 pada RM4,449.35 setan metrik, turun daripada RM4,547.79 setan metrik pada April 2025, manakala cukai eksport bagi Mei 2025 ialah 10 peratus, iaitu RM444.94 setan metrik berbanding RM4 2025.
Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 turun RM23 kepada RM4,207 satu tan, Jun 2025 jatuh RM24 kepada RM4,084 setan, Julai 2025 merosot RM28 kepada RM4,015 satu tan, Ogos 2025 berkurangan RM22 kepada RM3,986 setan, September 2025 merosot RM14 kepada RM3,972 satu tan, manakala Oktober 2025 berkurangan RM6 to RM3,974 setan.
Jumlah dagangan menguncup kepada 94,914 lot daripada 104,470 lot pada semalam manakala kepentingan terbuka turun kepada 241,905 kontrak daripada 247,195,425 kontrak sebelum ni.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan merosot RM100 kepada RM4,300 satu tan.
-- BERNAMA