Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, April 17 (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, menjejaki penurunan Wall Street dalam tempoh semalaman apabila pelabur kekal dengan sentimen berhati-hati dalam keadaan ketidaktpastian ekonomi yang berterusan berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.00 mata kepada 1,473.92 daripada 1,476.92 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.75 mata lebih rendah kepada 1,475.17.
Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 232 berbanding 91, manakala 212 kaunter tidak berubah, 1,875 kaunter tidak didagangkan, dan 19 yang digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 141.63 juta saham bernilai RM64.54 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah walaupun bermula kukuh, apabila sentimen pelabur berubah kepada berhati-hati apabila Pengerusi Rizab P ersekutuan AS (Fed) Jerome Powell memberi amanaran mengenai keadaan ekonomi AS.
“Selain itu, isu caj suku tahunan Nvidia sebanyak US$5.5 bilion (US$1 = RM4.40) berkaitan sekatan eksport cip ke China dan negara lain turut mencetuskan jualan dalam sektor teknologi.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS terus susut kepada 4.28 peratus,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Thong berkata harapan untuk FBM KLCI terus mengalami aliran meningkat semakin reda disebabkan kekurangan minat belian serta prestasi serantau yang suram.
“Memandangkan semakin banyak pelabur mengambil pendekatan enggan ambil risiko dan beralih kepada emas sebagai aset selamat, kami menjangkakan indeks penanda aras berlegar dalam julat 1,470 hingga 1,480 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 2.0 sen kepada RM13.46.
Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut 2.0 sen kepada RM4.28 dan RM6.80, CIMB Group turun 6.0 sen kepada RM6.65, manakala Maybank kurang 1.0 sen kepada RM9.83.
Antara saham aktif, Aumas Resources meningkat 2.0 sen kepada 78 sen, manakala Ekovest susut 1.0 sen kepada 30.5 sen dan Pertama Digital turun setengah sen kepada 13.5 sen. Revenue Group dan Avangaad masing-masing tidak berubah pada 9.5 sen dan 28.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 29.09 mata kepada 10,934.64, Indeks FBMT 100 turun 29.74 mata kepada 10,720.12, Indeks FBM Emas Syariah kurang 19.25 mata kepada 10,755.66, Indeks FBM 70 susut 74.06 mata kepada 15,352.04, manakala Indeks FBM ACE turun 11.81 mata kepada 4,503.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 52.11 mata kepada 17,665.55, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.38 mata kepada 143.10, manakala Indeks Perladangan menguncup 33.20 mata kepada 7,151.20.
Sementara itu, Indeks Tenaga naik 1.26 mata kepada 648.01.
-- BERNAMA