KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar Sin Chew Daily akan dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata dua individu itu akan dirakam keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman 1 tengah hari ini.
Beliau berkata Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut, manakala Timbalan Ketua Penyunting itu pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Razarudin berkata setakat ini pihaknya menerima 13 laporan berhubung isu tersebut di seluruh negara.
Selasa lepas akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera itu dilihat tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu akhbar berkenaan tampil memohon maaf atas kesilapan dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
-- BERNAMA