SUKAN

SKUAD BUNGA RAYA BELUM MUKTAMAD BARISAN UTAMA HADAPI SRI LANKA

17/04/2025 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Barisan kejurulatihan masih belum memuktamadkan 15 pemain utama yang akan turun menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025 di Stadium Racecourse, Sabtu ini.

Jurulatih forward Faiz Ali berkata kesemua pemain skuad Bunga Raya yang kini berada di Colombo, dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia diturunkan untuk berdepan tuan rumah yang juga juara Divisyen Satu itu.

‘Kita sudah berada di Colombo. Kita nampak pemain tenang dan telah bersedia untuk menghadapi Sri Lanka pada Sabtu ini.

“Bagi memilih 15 pemain terbaik untuk memulakan perlawanan, kami perlu berbincang untuk menilai keseluruhan pasukan supaya kita dapat turunkan barisan yang terbaik bagi menghadapi Sri Lanka,” katanya dalam video yang dikongsi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) hari ini.

Pertemuan antara Malaysia dan Sri Lanka amat penting kerana akan menentukan sama ada skuad Bunga Raya akan terus kekal di Divisyen Premier atau terpaksa turun ke Divisyen Satu musim depan.

Sebagai rekod, skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara menamatkan kempen ARC 2024 di kedudukan tercorot selepas tewas kepada Korea Selatan (5-55), Hong Kong (6-70) dan Emiriah Arab Bersatu (19-62).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan