PENAMPANG, 17 April (Bernama) -- Projek menaik taraf dan membaik pulih Tamu Donggongon di sini yang melibatkan peruntukan RM8.5 juta dijangka siap pada April tahun depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata projek di kawasan seluas 2.54 hektar itu bermula bulan ini dan beliau akan memastikan kerja-kerja berkaitan disiapkan dalam tempoh ditetapkan selepas tertangguh sejak diumumkan pada 2018.
“Dengan adanya pelancaran projek ini saya anggap sebahagian manifesto pilihan raya saya iaitu memastikan apa tertangguh di Penampang dapat dimulakan dan untuk konteks tamu (Donggongon) ini, saya percaya ia sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.
Ewon berkata reka bentuk bangunan tamu ini mengekalkan konsep tradisional sedia ada, dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya termasuk 550 lot untuk pasar kering, 36 lot pasar basah, pondok polis, tandas awam, tempat letak kereta dan pejabat pengurusan tamu serta penguat kuasa.
Beliau berkata pemantauan terhadap projek berkenaan juga akan dijalankan bersama semua pimpinan masyarakat khususnya melalui platform Majlis Tindakan Pembangunan Daerah Penampang termasuk projek-projek lain di daerah itu secara konsisten agar berjalan lancar.
Selain itu, Ewon berkata usahawan tamu Donggongon juga boleh mendapatkan perkhidmatan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan sama ada ketika berada di tapak tamu sementara mahupun selepas projek berkenaan siap nanti.
“Skim lain ialah pembiayaan mikro penjaja kecil sekiranya usahawan memerlukan dana atau modal pusingan bagi meneruskan aktiviti di tamu,” katanya.
Pada November tahun lepas, sebanyak 434 peniaga kecil dan penjaja Tamu Donggongon berpindah ke kawasan Tugu Peringatan Datuk Peter Mojuntin sementara kerja-kerja menaik taraf kawasan Tamu Donggongon itu dijalankan.
-- BERNAMA