PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Lebih 31,000 bakal haji telah menjalani pemeriksaan dan didaftarkan secara lengkap dalam International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata inisiatif IPS sebagai sebahagian transformasi digital yang membolehkan pengamal perubatan di Tanah Suci mengakses maklumat penting seperti sejarah kesihatan, rekod ubat dan alahan jemaah dengan hanya mengimbas kod respons pantas (QR).
Pengenalan IPS juga, menurut beliau membolehkan kerajaan Arab Saudi memberikan intervensi segera melalui pasukan perubatan mereka sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Untuk musim haji tahun ini, proses pendigitalan sepenuhnya telah dilaksanakan dan maklumat kesihatan jemaah haji (Malaysia) kini disimpan rapi (menerusi IPS) dan boleh diakses menggunakan kod QR serta dilaporkan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perjumpaan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) Ke Tanah Suci bagi Musim Haji 1146H/2025M di sini hari ini.
Beliau berkata maklum balas Arab Saudi terhadap IPS yang diperkenalkan tahun lepas juga amat baik kerana memudahkan urusan rawatan serta bantuan kepada jemaah haji yang tidak sihat.
“Kita bekerjasama dengan sangat baik. Melalui IPS, kita dapat mengakses semua ringkasan rekod perubatan dan prosedur (kesihatan) yang pernah dijalani. Mereka (Arab Saudi) dapat mengakses dan memberikan rawatan dengan kadar segera dan berkesan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cabaran petugas haji KKM, Dzulkefly berkata keadaan cuaca panas antara cabaran akan dihadapi jemaah haji tahun ini.
“Saya mengingatkan pasukan perubatan dan jemaah haji untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada keadaan panas dan pastikan minum dengan cukup. Sangat mustahak untuk memastikan diri sentiasa kekal hidrat," katanya.
Dzulkefly berkata sebanyak 268 petugas kesihatan KKM bertugas pada musim haji kali ini.
Pada 21 Mac, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini dijadualkan pada 29 April manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei.
-- BERNAMA