AM

GANGGUAN SEKSUAL REMAJA PERLU DITANGANI SECARA BERSEPADU, HOLISTIK - MOHD NA'IM

17/04/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Gejala seksual dalam kalangan remaja perlu ditangani segera menerusi strategi bersepadu dan holistik, melibatkan semua pihak terutama ibu bapa sebagai pendidik utama, masyarakat serta pihak berwajib, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata hal ini kerana laporan mengenai peningkatan kes rogol dan sumbang mahram membabitkan remaja bawah umur sangat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius kerana ia menunjukkan amalan hidup berisiko tinggi yang mengancam kesejahteraan generasi muda.

Sehubungan itu, Mohd Na’im berkata strategi pencegahan berupa Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) yang memberi penekanan kepada lima dimensi seksualiti iaitu intelek, emosi, sosial, spiritual dan fizikal (biologi) perlu dipertingkatkan.

"PSH mestilah merangkumi tiga elemen utama iaitu disesuaikan dengan tahap usia kematangan anak-anak, berasaskan nilai agama, budaya dan adat resam serta berdasarkan data serta kajian saintifik yang tepat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata ibu bapa dan golongan dewasa perlu diberikan pengetahuan asas mengenai PSH serta dilatih dengan kemahiran berkomunikasi secara selamat dan penuh hormat dengan anak remaja mereka berhubung isu seksualiti.

“Remaja mestilah diperkasakan dengan ilmu pengetahuan asas PSH untuk membantu mereka membuat keputusan yang bijak dan sejahtera berkaitan seksualiti mereka sendiri,” katanya.

Bagi remaja yang telah terjebak dalam gejala seksual, Mohd Na’im berkata usaha perlu difokuskan kepada kaedah mengurangkan risiko (harm reduction) berlakunya masalah kesihatan mental, kehamilan remaja, pengguguran dan jangkitan kelamin dalam kalangan remaja perempuan dan lelaki.

Beliau berkata ibu bapa kepada remaja terbabit juga perlu diberi kesedaran dan sokongan untuk melindungi anak-anak mereka daripada terus mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi. 

“Tindakan undang-undang yang lebih tegas perlu diambil ke atas individu atau pihak yang bertanggungjawab melakukan eksploitasi seperti amang seksual, cabul dan rogol yang merosakkan remaja.

“Saya menyeru semua pihak, institusi keluarga, sekolah, masjid, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan agensi kerajaan untuk berganding bahu membentuk ekosistem sokongan yang selamat dan berkesan bagi membimbing remaja kita ke arah jalan yang lebih baik dan diredai Allah SWT,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan