PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan penting daripada sampai kepada rakyat Palestin di Gaza, menyifatkan ia sebagai tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar atau juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia dengan tegas mengutuk tindakan kejam Israel menghalang bantuan yang amat diperlukan daripada disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza ketika rejim Zionis meneruskan penghapusan etnik dan genosidnya di wilayah Palestin.
Kementerian itu menegaskan bahawa tindakan sengaja menghalang penghantaran keperluan asas seperti makanan, air, bahan bakar dan bekalan perubatan ke Gaza bertujuan menghukum rakyat Gaza adalah jelas tidak berperikemanusiaan dan tidak masuk akal, ketika mereka sudah berjuang untuk terus hidup menghadapi bencana kemanusiaan terburuk yang dilihat dunia dalam beberapa dekad.
“Tindakan rejim yang tidak bermoral ini juga merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pencabulan terang-terangan terhadap hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.
Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas untuk memaksa Israel menghentikan tindakan tersebut dan memastikan rejim itu dipertanggungjawabkan.
Kementerian itu turut mengulangi gesaan agar konflik dan pertumpahan darah di Gaza dihentikan serta-merta, dan supaya hak rakyat Palestin dipulihkan sepenuhnya, termasuk hak menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Malaysia kekal teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan keamanan, kebebasan dan keadilan di semua platform antarabangsa,” tambah kenyataan itu.
Menurut laporan antarabangsa, penghantaran bantuan ke wilayah Palestin telah terhenti sejak 2 Mac, beberapa minggu sebelum Israel melanggar gencatan senjata sementara dengan melancarkan semula serangan udara pada 18 Mac dan kemudian melancarkan semula serangan darat.
-- BERNAMA