AM

TUMPU ISU RAKYAT, REALISASI IPOH BANDAR BESTARI, MISI DATUK BANDAR IPOH

18/04/2025 09:52 PM

IPOH, 18 April (Bernama) -- Isu rakyat serta penyelenggaraan kemudahan awam akan diberikan tumpuan utama dalam memastikan visi menjadikan Ipoh sebagai ‘Bandaraya Bestari Sejahtera’ dapat direalisasikan, kata Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah.

Beliau yang baru mengangkat sumpah ke jawatan Datuk Bandar hari ini berkata walaupun perkara itu bukan satu tugas yang mudah, namun ia merupakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh setiap warga bandar raya ini.

“Saya akan memastikan isu sampah, longkang dan rumput serta isu penyelenggaraan kemudahan awam termasuk jalan berlubang diberikan keutamaan. Ini bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar raya yang ceria, bersih dan mesra alam. 

“Kita perlu sedar bahawa tugas yang diamanahkan ini adalah untuk kesejahteraan wargakota Ipoh, kerana mereka adalah majikan kita yang sebenarnya, kerana merekalah yang membayar gaji kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis MBI di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Terdahulu Zamakhshari mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Ipoh ke-13 disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching.

Zamakhshari yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggalas tugas berkenaan menggantikan Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang mengakhiri perkhidmatan pada 31 Mac lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan