KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengadakan pertemuan dengan atlet olahraga dan Olahraga Malaysia (MA) minggu depan berhubung isu mogok latihan dikendalikan Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia Robert Ballard.
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata beliau berharap dapat memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai kemelut terbaharu melanda kem olahraga negara dalam pertemuan itu.
Katanya MSN sememangnya telah menyedari kewujudan isu tersebut selepas mengadakan mesyuarat dengan barisan kepimpinan MA berhubung permintaan melantik enam jurulatih baharu, baru-baru ini.
“Apabila kita duduk semeja dengan mereka (atlet dan MA) saya rasa kita akan dapat maklumat lebih jelas mengapa mereka mogok dan tidak dapat menerima latihan dilaksanakan Robert Ballard.
“Jadi kalau kita duduk semeja secara terbuka saya rasa isu dapat diselesaikan segera,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan beberapa atlet pecut membuat keputusan untuk memboikot program latihan oleh Ballard sejak sebulan lepas dan menerima ugutan dibuang daripada program sekiranya mereka meluahkan ketidakpuasan hati mengenai cara pengurusan warga Australia itu.
Dalam pada itu, Jefri berkata kontrak Ballard akan tamat Jun ini dan MSN boleh melakukan penilaian termasuk indeks prestasi utama ditetapkan kepadanya selama ini.
“Kontrak Ballard adalah bersama MA walaupun pendanaan itu datang daripada MSN apabila pihak MA mungkin menyambung kontrak beliau, mereka akan datang balik ke MSN untuk berunding dan masa itu kita akan tengok apakah tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata pihaknya masih menunggu resume enam jurulatih yang melibatkan tiga jurulatih tempatan dan tiga lagi dari negara luar oleh MA.
Minggu lepas, Jefri dalam kenyataan berkata enam jurulatih baharu tersebut merangkumi aspek kejurulatihan bagi disiplin pecut, lontaran dan lompatan.
-- BERNAMA