AM

GARIS PANDUAN PUSPAL VERSI BAHARU PERKEMAS PENGURUSAN ACARA - FAHMI

18/04/2025 07:02 PM

PETALING JAYA, 18 April (Bernama) -- Garis Panduan PUSPAL (GPP) versi baharu, GPP 6.0 diperkenalkan bagi memperkemaskan pengurusan acara termasuk memastikan proses permohonan lebih mesra industri, telus dan efisien kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penambahbaikan garis panduan itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini penting dalam usaha membina ekosistem hiburan yang progresif, selamat dan bertaraf antarabangsa.

“GPP mengandungi dasar-dasar kerajaan, tatacara permohonan serta peraturan berkaitan penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi ALIFE Datuk Alan Foo dan Timbalannya Brian Johnson Lowe.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata elemen paling penting dalam penambahbaikan GPP 6.0 adalah berkaitan pengurusan insiden, khususnya melibatkan elemen penamatan persembahan atau kill switch.

Selain aspek pengurusan insiden, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa bahagian dalam garis panduan itu telah dipinda mengikut kesesuaian, selaras dengan perubahan struktur dan usaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Antara pindaan tersebut termasuk semakan semula tempoh larangan atau blackout dates, serta pemendekan tempoh permohonan bagi kategori persembahan kecil dan promosi daripada 14 hari kepada tujuh hari.

Beliau berkata kerajaan juga menetapkan keperluan pra-permohonan sebagai syarat wajib sebelum sebarang aktiviti pengiklanan, promosi atau jualan tiket dibuat bagi persembahan membabitkan artis luar negara.

“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana tiket sudah dijual, namun artis tersebut sebenarnya belum mendapat kelulusan pra-permohonan atau permohonan daripada pihak PUSPAL,” katanya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa dokumen GPP 6.0 akan diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan beberapa bahasa antarabangsa lain bagi memudahkan rujukan penggiat industri dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan