DUNIA

RINGGIT SUSUT BERBANDING DOLAR AS SUSULAN UNJURAN PERTUMBUHAN KDNK LEBIH RENDAH

18/04/2025 07:38 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup dagangan hari ini susulan pengumuman unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2025 yang lebih rendah daripada jangkaan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot berbanding dolar AS kepada 4.4100/4175 daripada 4.4050/4095 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran awal KDNK oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan ekonomi negara berkembang pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan iaitu 4.4 peratus bagi suku pertama 2025.

"Unjuran yang lebih rendah ini menunjukkan risiko penurunan meningkat terhadap pertumbuhan ekonomi terutamanya bagi separuh kedua tahun ini disebabkan oleh jangkaan tarif yang dikenakan oleh AS," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata Presiden AS Donald Trump juga memberi bayangan iaitu berasa keberatan untuk terus menaikkan tarif terhadap China kerana ia mungkin menjejaskan perdagangan di antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, masih belum dapat dipastikan sama ada kenyataan Trump sedemikian akan memberi kesan yang ketara terhadap sentimen pasaran berikutan ketidakselarasan dasar yang berlaku.

"Dagangan dolar AS-ringgit berada pada paras RM4.41 manakala Indeks Dolar AS (DXY) kekal berada di bawah paras 100 mata," katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata mata wang tempatan diniagakan lebih rendah hari ini dan ketinggalan berbanding negara-negara Asia lain susulan senario kenaikan tarif melibatkan China minggu lepas.

Namun, katanya, selepas berlaku penurunan awal, pasaran kembali stabil apabila para peniaga beralih kepada pendekatan tunggu dan lihat dengan tumpuan kini terarah kepada hasil rundingan perdagangan antara AS dan Jepun.

“Rundingan ini dilihat sebagai petunjuk utama bukan sahaja terhadap tuntutan Trump ke atas Tokyo, tetapi juga terhadap tekanan yang mungkin dikenakan beliau ke atas negara-negara sekutu lain pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit berkurang berbanding yen Jepun kepada 3.0971/1028 daripada 3.0849/0883 ketika ditutup pada Khamis, lemah berbanding pound British kepada 5.8516/8616 daripada 5.8331/8391 semalam dan turun sedikit berbanding euro kepada 5.0133/0218 daripada 5.0102/0154 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1815/2154 daripada 13.2211/2417 ketika ditutup pada Khamis dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 261.2/261.8 berbanding 261.6/262.0 sebelumnya.

Namun, mata wang tempatan diniagakan tidak berubah berbanding peso Filipina iaitu kepada 7.77/7.79 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3603/3667 daripada 3.3562/3601 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan