EKONOMI

KHAZANAH AGIH HIDANGAN RAYA KEPADA KOMUNITI SUSULAN PEMBATALAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

19/04/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd mengagihkan makanan yang pada asalnya disediakan untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Khazanah 2025, bagi menyokong hampir 3,000 individu yang memerlukan, susulan pembatalan acara itu sebagai menghormati pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jurucakap daripada Khazanah berkata inisiatif yang diadakan pada 15 dan 16 April itu memastikan tiada pembaziran makanan di samping menghormati legasi Tun Abdullah, yang juga bekas Pengerusi Khazanah.

Makanan panas dan hidangan sempena Aidilfitri itu diagihkan kepada komuniti berpendapatan rendah (B40), rumah anak yatim dan pusat kebajikan melalui usaha sama Yayasan Bantuan Makanan, dengan kerjasama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jaringan Sukarelawan Khazanah (KVN), Women of Will serta vendor.

Makanan yang diagihkan termasuk pembuka selera sejuk, daging perap, hidangan yang telah dimasak dan pencuci mulut, manakala makan malam secara bufet dan gerai makanan perayaan seperti kios burger, “coconut shake” dan kuih-muih tempatan turut disediakan di beberapa surau dan pusat komuniti terpilih.

“Selain pengagihan makanan itu, majlis tahlil bersama anggota masyarakat dan penjaga turut diadakan buat Perdana Menteri kelima Malaysia, Tun Abdullah,” katanya.

Pengagihan makanan itu adalah sebahagian daripada komitmen luas Khazanah terhadap kemampanan, penglibatan komuniti dan tindakan bermatlamat.

Pada 15 April, Khazanah mengumumkan pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 yang pada asalnya dijadual diadakan pada tarikh yang sama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai menghormati pemergian Tun Abdullah.

Abdullah, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April, pukul 7.10 malam pada usia 85 tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan