KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kuasa Usaha Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya baru-baru ini mengadakan lawatan ke Luanda, Angola bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan hubungan diplomatik.
Lawatan selama tiga hari itu juga bertujuan mengeratkan hubungan dengan komuniti diaspora Malaysia di negara Afrika itu.
Sepanjang lawatan, Mohamad Rameez mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Hubungan Luar Angola, termasuk Pengarah Protokol George dan Pengarah Asia dan Oceania Pauleth Dias, yang mengetuai meja diplomatik berkaitan Malaysia.
Beliau turut bertemu Setiausaha Tetap kementerian itu, Duta Joao Baptista De Costa bagi meneroka peluang mengukuhkan kerjasama dua hala.
“Dalam pertemuan bersama Baptista, perbincangan tertumpu kepada hubungan dua hala semasa… Kami berbincang mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan yang sedang berlangsung dan mereka menyatakan kepuasan terhadap penglibatan Petronas dalam meneroka blok luar pesisir baharu di Angola.
“Saya turut menekankan kepentingan memperkasa pertukaran antara rakyat dan menggalakkan lebih ramai warga Angola menyertai kursus di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya dalam satu kenyataan.
Di Luanda, Mohamad Rameez melawat pejabat Petronas dan mengadakan perbincangan dengan wakilnya, Qayyum, yang memberi taklimat berkenaan blok baharu yang kini diterokai bersama 'Total' dan syarikat minyak nasional Angola, 'Sonangol'.
Beliau turut mengambil peluang bertemu dengan rakyat Malaysia di Angola dalam satu majlis makan malam yang diadakan di daerah pusat perniagaan Luanda.
Sekitar 20 rakyat Malaysia menghadiri sesi itu, mewakili kumpulan lebih 70 orang yang bekerja dalam sektor minyak dan gas.
Faiz Rahimi, seorang rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Angola, turut hadir dalam sesi itu dan menyifatkannya sebagai peluang bermakna untuk berhubung dengan rakyat Malaysia lain.
“Terima kasih untuk acara seperti ini, saya berpeluang mengembangkan rangkaian profesional dan berkenalan dengan rakan baharu, terutama sekali mereka yang juga berasal dari Malaysia!
“Menarik juga untuk mengetahui bahawa kebanyakan rakan senegara saya kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas terkenal seperti Petronas, ExxonMobil, Azule Energy (usaha sama antara ENI dan BP), Total, dan Schlumberger,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.
-- BERNAMA