Oleh Puti Iylia Maisarah Zol Azman
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pelbagai jenis biskut tradisional Melayu dan moden ‘air tangan’ wanita warga emas ini sering jadi tumpuan, khususnya dalam kalangan pelanggan tetapnya yang berbilang bangsa hingga perusahaan kecil-kecilan dari rumah mampu bertahan lebih 30 tahun.
Menggunakan resipi asli turun-temurun orang Melayu merupakan rahsia kehebatan Ratha Sivalingam, 73, dalam mengekalkan tekstur rasa biskut warisan selain memastikan bahan yang digunakan adalah halal dan tanpa telur untuk membolehkan sesiapa sahaja termasuk vegetarian menikmatinya.
Bagi ibu kepada dua anak ini, apa yang dilakukan bukan sekadar untuk menyajikan biskut yang enak tetapi juga membawa mereka mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak dengan kepelbagaian biskut tradisional dan moden.
Kecintaan dan bakat dalam dunia bakeri secara tidak langsung telah menjadikan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini sebagai ‘jambatan perpaduan’ untuk mengeratkan lagi hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat di samping memperluaskan lagi rangkaian jaringan sosialnya.
“Minat membuat kek dan biskut tercetus secara tidak sengaja semasa menetap di Amerika Syarikat selama dua tahun bersama keluarga apabila anak lelaki meminta saya membuat sesuatu untuk pertukaran makanan bagi program pengakapnya. Pada awalnya saya tak tahu nak buat apa, jadi saya beli kek yang sudah siap dan letak aising sendiri.
“Dari situ saya mula minat (bakeri) dan setelah balik Malaysia, saya mula buat kek dan biskut secara serius dengan membuka kedai bersama rakan. Kedai kami mula mendapat pelanggan tetap terutamanya pada musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas,” katanya kepada Bernama.
Biarpun kedai yang diusahakan bersama rakan di Kepong sudah lama tutup dan kini mengusahakan sendirian di rumah, wanita ini masih lagi mempunyai pelanggan setia yang majoriti dalam kalangan orang Melayu.
Ketika ditanya apakah ‘rahsia’ yang menjadikan kek dan biskut yang dihasilkan terus diminati ramai hingga kini, Ratha berkata niat yang ikhlas selain membuatnya kerana ‘cinta’ adalah antara ‘resipi’ utamanya mampu bertahan sekian lama.
“Saya menerima tempahan sepanjang masa, tetapi biasanya permintaan agak tinggi pada musim perayaan. Saya juga buat biskut ikut permintaan pelanggan seperti biskut tanpa telur ini, yang tidak sangka mendapat permintaan tinggi.
“Masyarakat India dan Cina lebih gemar biskut tanpa telur ini, sebab itu saya memilih untuk menghasilkan biskut, kek yang bukan sahaja halal dan dapat dinikmati oleh orang Melayu tetapi juga bagi mereka yang vegetarian,” katanya.
Bagaimanapun, Ratha berkata majoriti pelanggan Ratha menyukai tat nanas dan tempahan diterima untuk biskut tersebut biasanya lebih 80 peratus, diikuti biskut buah-buahan campuran, coklat cip dan biskut mentega.
Sementara itu, Fatihah Sofian Sagir, 26, berkata biskut yang dihasilkan oleh Ratha mempunyai rasa unik dan sesuai dengan cita rasa namun lebih mengagumkan ia dibuat oleh seorang wanita India, sesuatu yang jarang ditemuinya.
“Pada mulanya, kawan saya Shashi Kumar (anak lelaki Ratha) berkongsi biskut raya di pejabat dan ia sangat sedap seolah-olah dibuat oleh ibu saya di kampung. Apabila ditanya siapa yang membuat biskut tersebut, dia menyatakan dibuat oleh ibunya.
“Saya terkejut sebab terlalu sedap dan terus saya pesan sebagai buah tangan kepada ibu dan saudara saya di kampung semasa Aidilfitri,” katanya.
-- BERNAMA