TAPAH, 20 April (Bernama) -- Di sebalik raut wajah yang serius, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir cukup disenangi dan mudah didekati ramai, menurut bekas rakan sekerjanya.
Pesara guru Mohd Nor Bahari Baharudin, 58, berkata beliau mengenali Mohamad Yusri sekitar 1990-an ketika bersama-sama mengajar di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti di sini.
“Dia rakan sekerja yang banyak membantu dan mudah untuk minta tolong. Selalu apa-apa masalah kami, dia boleh bantu selesaikan dan satu kelebihannya beliau mempunyai ingatan yang cukup kuat … tanya nama anak, nombor kereta, dia boleh ingat,” katanya ketika ditemui Bernama di Program Jualan Rahmah MADANI di Tapah Road di sini.
Mengimbau kenangan lucu bersama Mohamad Yusri, Mohd Nor Bahari berkongsi mereka pernah terlewat menunaikan solat Jumaat kerana terlalu asyik berbual tentang masa depan dan perancangan hidup.
“Zaman bujang dulu, kami memang selalu melepak bersama. Rumah kawan-kawan yang dah berkahwin akan menjadi tempat kami berkumpul,” katanya sambil ketawa.
Bekas guru Sains Komputer itu berkata sebaik mengetahui Mohamad Yusri diumum sebagai calon BN, beliau berasa bangga dan yakin dengan kemampuan rakannya itu untuk mewakili rakyat di Ayer Kuning.
Mohd Nor Bahari berkata Mohamad Yusri juga datang dari keluarga yang mementingkan agama kerana bapanya juga seorang ustaz.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
-- BERNAMA