AM

RAKYAT PERLU KEKAL KEHARMONIAN DEMI KEKUATAN DALAMAN MALAYSIA - DR WAN AZIZAH

20/04/2025 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat supaya terus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kestabilan dalaman negara sekali gus membolehkan Malaysia berperanan aktif selaku Pengerusi ASEAN.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata keharmonian antara kaum di Malaysia menjadi asas kepada kekuatan negara.

Beliau berkata kekuatan dalaman negara ini juga akan membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai penstabil politik di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Alhamdulillah, negara ini berbilang kaum, dan kita bersatu sebagai masyaraka. Ini penting untuk kita terus pelihara keharmonian dan gunakan perayaan ini sebagai medium mengeratkan perpaduan. Penting untuk kita (Pengerusi ASEAN) membangunkan (keharmonian),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bandar Tun Razak hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah menyifatkan lawatan Presiden China Xi Jinping pada Selasa lepas membuktikan Malaysia mendapat perhatian utama dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Presiden China Xi Jinping melawat Malaysia selama tiga hari … .Ini menunjukkan bagaimana Malaysia mendapat perhatian China. Ini juga kerana geopolitik negara kita yang sudah berubah,” katanya.

Xi mengadakan lawatan negara ke Malaysia bermula Selasa lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan