KUANTAN, 20 April (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyempurnakan MILO Malaysia Breakfast Day 2025 yang disertai lebih 12,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 di sini.
Baginda menzahirkan ucapan tahniah dan menyokong peranan berterusan MILO dalam membentuk kehidupan harian dan kenangan manis rakyat Malaysia dari generasi ke generasi.
"MILO telah bertapak di Malaysia selama 75 tahun dan saya sendiri telah menikmatinya sejak kecil dan sehingga hari ini masih minum secawan MILO setiap pagi. Saya berharap usaha anda di sekolah akan diteruskan terutama dengan kehadiran lori MILO, kerana itulah yang paling diingati kita semua tentang MILO.
"Semasa zaman persekolahan dahulu, kami sentiasa menantikan hari sukan dan lori MILO, kami sanggup beratur untuk mendapatkannya. Minumlah MILO, ia baik untuk anda. Saya minum MILO tanpa susu dan gula," titah baginda menurut kenyataan yang diedarkan oleh Nestlé (Malaysia) Berhad.
Menerusi kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Juan Aranols berkata sokongan dan keprihatinan Tengku Ampuan Pahang begitu bermakna buat syarikat berkenaan yang meraikan 75 tahun MILO membekalkan khasiat pemakanan sejak turun-temurun kepada rakyat Malaysia dan perjalanan 112 tahun Nestlé di Malaysia.
"Keberangkatan Tengku Ampuan Pahang telah menyerikan acara dan mendorong kami meneruskan komitmen menggalakkan gaya hidup lebih sihat serta membina masyarakat yang lebih kuat bertenaga bersama-sama," katanya.
Pelbagai acara menarik turut dianjurkan termasuk MILO Breakfast Run, senaman zumba dan MILO Goodness Truck yang interaktif selain acara lompat tali, timbang bola sepak serta perlumbaan lari dalam guni.
Penampilan khas sahabat MILO, pelakon Nadhir Nasar dan Erysha Emyra, sebagai tetamu istimewa telah memeriahkan lagi acara apabila mereka turut sama menyertai larian selain beramah mesra dengan peminat sekali gus dapat menggalakkan anak muda untuk mengamalkan kehidupan aktif serta sihat.
Sementara itu, peserta Atiqah Ameran, 33, berkata acara sedemikian dapat mengeratkan hubungan keluarga serta komuniti, justeru beliau hadir bersama anak dan ahli keluarganya yang lain.
"Seronok tengok suasananya di media sosial, jadi kami sekeluarga ambil peluang rasai sendiri. Anak-anak suka minum MILO setiap pagi sebelum ke sekolah, jadi mereka sangat teruja nak sertai," katanya yang menetap di Taman Cenderawasih di sini.
Bagi Nor Shahila Ramli, 37, dan Mohd Dzul Haimi, 39, mereka mengambil peluang menyertai program ini bersama tiga anak kerana berpandangan ia platform terbaik untuk merapatkan hubungan keluarga.
"Ini kali ketiga kami sertai sebab memang seronok, dapat bawa keluarga dan luang masa bersama. Sarapan pagi sangat penting untuk kesihatan dan anak-anak memang suka MILO, setiap pagi mesti ada MILO waktu sarapan," katanya yang turut menyertai acara larian bersama keluarga.
Susulan kejayaan program itu di Putrajaya, Johor, Pulau Pinang dan kini Kuantan, yang menyaksikan penyertaan hampir 60,000 orang, MILO Malaysia Breakfast Day 2025 akan diteruskan pada suku tahun akan datang di Kedah dan Terengganu.
-- BERNAMA