KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas berhibur dan mengambil jus disyaki mengandungi dadah di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana di sini Jumaat lepas.
Menurut sumber, pegawai lelaki berusia 43 tahun itu ditahan pada 5.05 petang selepas pemeriksaan mengejut dijalankan JSJN Bukit Aman yang menerima aduan dan maklumat.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amfetamina, metamfetamina, ketamin dan benzo.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis minuman jus di pusat hiburan berkenaan dan bekalan dadah itu diperoleh seorang lelaki tempatan di tempat berkenaan,” katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pegawai polis terbabit.
“Kes ini disiasat Polis Selangor dan pegawai berkenaan direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Bernama hari ini.
-- BERNAMA