AM

BEBERAPA KAWASAN DI PULAU PINANG DILANDA BANJIR KILAT, SATU PPS DIBUKA

21/04/2025 11:34 AM

BUKIT MERTAJAM, 21 April (Bernama) -- Beberapa kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam, awal pagi tadi.

Antara lokasi yang dinaiki air ialah Taman Guar Perahu, Kampung Pelet, Penanti, Jalan Permatang Nibong, Permatang Pasir dan Kubang Semang.

Selain itu, Kampung Telok berhampiran Kawasan Perindustrian Sungai Lokan dan Taman Desa Murni dekat Sungai Dua, Merbau Kudung, Pajak Song dan sekitar Butterworth turut terjejas.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Permatang Pasir, di sini pada 7 pagi yang menempatkan sebanyak 42 mangsa daripada 13 keluarga.

APM menerima maklumat awal berlaku banjir kilat dan beberapa kawasan di Kubang Semang dinaiki air pada 2 pagi selepas hujan lebat kira-kira 1 pagi tadi.   

“Tindakan awal dibuat dengan memindahkan mangsa yang terlibat ke Masjid Kubang Semang sebelum mereka dipindahkan ke PPS sebaik ia dibuka pada 7 pagi ini,” kata jurucakap itu dalam kenyataan hari ini. 

Hujan telah berhenti pada 3 pagi dan air mulai surut serta tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa melibatkan mangsa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan