AM

JAKIM MINTA MCMC AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEMILIK AKAUN SEBAR KEBENCIAN, MENGHASUT

21/04/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun Facebook ‘Lyan Liu’ yang didakwa menyebarkan kenyataan berunsur kebencian dan hasutan di media sosial.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan berunsur penghinaan, hasutan dan kebencian terhadap agama Islam dan aduan terhadap pemilik akaun itu telah dikemukakan kepada MCMC.

"JAKIM telah mengemukakan aduan kepada MCMC agar tindakan sewajarnya dapat diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, memandangkan kandungan (hantaran) tersebut jelas berunsur ekstremisme, kebencian agama dan perkauman.

"Kenyataan dimuat naik individu berkenaan mengandungi unsur penghinaan keterlaluan terhadap agama dan bangsa jelas bertentangan dengan prinsip keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama dipelihara di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebebasan bersuara seharusnya tidak disalahgunakan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama kerana tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan sensitiviti umat Islam malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta menggugat perpaduan nasional.

Sirajuddin menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh atau bertindak balas secara emosional terhadap sebarang bentuk provokasi, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan lunas undang-undang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan