AM

SULTAN KELANTAN TITAH CADANGAN BINA TEMBOK DI SUNGAI GOLOK DIMUKTAMAD SEGERA

21/04/2025 02:31 PM

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mahu cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok dimuktamadkan segera.

"Beta memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia–Thailand," titah baginda dalam Titah Ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di sini hari ini.

Pada November tahun lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Persekutan bagi pembinaan tembok sempadan sepanjang 100 kilometer dengan Thailand.

Beliau berkata projek itu bertujuan membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan serta menangani isu banjir.

Sultan Muhammad V turut menggesa projek lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa sebagai penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di negeri ini.

"Fasa keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak dalam mengatasi isu banjir di Kelantan," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Kelantan menyeru jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian supaya tetap fokus kepada fungsi dan tugas utama masing-masing serta meningkatkan usaha bagi memastikan sekuriti makanan negeri dan negara terjamin. 

"Beta sangat mengharapkan pihak kerajaan serta rakyat meneroka dan mendinamikkan tanaman berpotensi tinggi, seperti kelapa dan durian sebagai sumber pendapatan dalam bidang pertanian.

"Selaras dengan Enakmen Pemajuan Pertanian Negeri Kelantan 2022, beta berharap sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing dapat dibangunkan dengan segera. Tanpa langkah tegas untuk memperkukuh jenama hasil pertanian Lojing, Kelantan akan kehilangan peluang dari segi hasil, pelaburan dan pembangunan ekonomi.

"Dengan strategi penjenamaan, infrastruktur yang baik dan pematuhan undang-undang, Kelantan berpotensi mengukuhkan jajahan kecil Lojing sebagai pusat pertanian berdaya saing di Malaysia," titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menggesa pihak berkuasa tempatan untuk memberi tumpuan dalam memastikan bandar-bandar di Kelantan kekal bersih, indah dan ceria serta memiliki pengurusan perbandaran yang baik.

"Beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Landskap Negara atas kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam dalam melaksanakan projek landskap di bandar Kota Bharu.

"Beta berharap agar semua pihak berkuasa tempatan dengan sokongan kerajaan, dapat meneliti isu bangunan terbiar serta memanfaatkan peluang ekonomi yang ada di dalam bandar bagi meningkatkan pembangunan setempat," titah Sultan Muhammad V.

Selain itu, baginda bertitah pembangunan infrastruktur yang berkaitan perlu dipercepat selain menyediakan insentif pengecualian cukai yang kompetetif bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.

"Sebagai contoh, pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur yang akan memberi fungsi baharu kepada dua kawasan, iaitu cargo-oriented development di jajahan Pasir Putih dan transit-oriented development di kawasan bandar baru Tunjong.

"Selain meningkatkan dan memperkukuh sistem pengangkutan, projek ini juga secara langsung akan memberikan kesan gandaan ekonomi kepada rakyat beta, maka sewajarnya rakyat melihat hal ini sebagai satu peluang untuk turut serta menerokai seterusnya menikmati kesan limpahan daripada projek ini," titah baginda.

Baginda turut menyarankan kerajaan negeri mengkaji dan menyediakan platform pendidikan alternatif khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri semasa.

"Antara fokus utama yang perlu diberi tumpuan ialah pembangunan sektor pembuatan bagi menarik pelaburan ke Kelantan, peningkatan infrastruktur bekalan air bersih dan jaringan jalan raya, penumpuan kepada sektor pertanian dan pembangunan pelancongan, di samping memperkasakan sektor lain.

"Dalam konteks federalisme, beta berasa sukacita dengan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

"Antara yang menjadi keutamaan ialah pembangunan infrastruktur melibatkan pelaksanaan projek-projek penting yang telah diluluskan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12, kerjasama dalam mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil pertanian dan pelaksanaan projek-projek konservasi biodiversiti di Kelantan," titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan