KUALA TERENGGANU, 21 April (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan meningkatkan usaha mempromosikan Tasik Kenyir bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu antara lain bagi mengatasi masalah kemerosotan jumlah pelancong ke lokasi terbabit yang semakin ketara sejak penularan COVID-19 beberapa tahun lepas.
“Kita memang menyedari jumlah pengunjung berkurangan sejak COVID-19, tetapi sekarang saya dimaklumkan oleh pihak Ketengah, terdapat peningkatan jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir kini (sejak tahun lepas),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan KKDW Peringkat Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini.
Rubiah berkata Ketengah juga telah berbincang bersama kerajaan negeri mengenai langkah untuk memperhebat produk dan aktiviti pelancong di tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu.
Katanya, hal ini kerana Tasik Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu itu masih berada di bawah kerajaan negeri meskipun pengurusan dan sebahagian aktiviti di situ dikendalikan oleh Ketengah.
Selain itu, katanya Ketengah juga bekerjasama dengan pihak lain seperti Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai antara destinasi yang wajib dikunjungi di Terengganu.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris dilaporkan berkata kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir semakin berkurangan, iaitu sebanyak 775,979 pengunjung pada 2018; 607,398 (2019); 208,097 (2020); 277,969 (2021); 246,896 (2022); dan 218,157 (2023).
Namun, Razali berkata jumlah pelancong meningkat pada tahun lepas dengan kehadiran 396,715 pengunjung.
-- BERNAMA