AM

PERAK TELITI MEKANISME BANTUAN UNTUK GOLONGAN 'TIDAK LAYAK TETAPI TERHIMPIT' - EXCO

21/04/2025 08:30 PM

IPOH, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak meneliti keperluan dan pendekatan bagi membantu golongan pertengahan yang tergolong dalam kategori M40, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat Dan Pembangunan Usahawan Datuk Salbiah Mohamed.

Beliau berkata beberapa pendekatan jangka sederhana dan panjang sedang dipertimbang untuk membantu golongan "tidak layak tetapi terhimpit ini".

“Antaranya ialah sokongan berasaskan produktiviti melalui program pembangunan keusahawanan, latihan kemahiran dan akses kepada digitalisasi bagi menambah pendapatan isi rumah, bukan sekadar bergantung kepada bantuan langsung.

“Selain itu, melalui Subsidi Bersasar dan Inisiatif Gaya Hidup Mampu Milik Kerajaan Negeri juga boleh meneroka inisiatif seperti diskaun pendidikan prasekolah, subsidi penjagaan anak, program pembelian barangan asas mampu milik (BAMM) atau kad diskaun tertentu yang memberi manfaat kepada keluarga M40 secara lebih fleksibel,” katanya.

Salbiah berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata turut dipertimbang kerjasama strategik dengan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan yang boleh dilibatkan dalam menawarkan program khidmat masyarakat berimpak tinggi contohnya sokongan kesihatan mental, pengurusan kewangan isi rumah serta bantuan pengurusan hutang.

“Isu melibatkan M40 perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas serta inklusif dan kerajaan negeri akan meneliti secara menyeluruh cadangan selain memperhalusi dasar bantuan dan program sedia ada agar lebih responsif khususnya kepada kumpulan isi rumah ini yang semakin 'tergelincir' daripada status stabil kepada kelompok yang memerlukan perhatian,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan