EKONOMI

NRES GALAK SYARIKAT BESAR, GLC GUNA TENAGA BOLEH BAHARU, PANEL SOLAR

22/04/2025 01:28 PM

PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggalakkan penyertaan aktif syarikat korporat berskala besar termasuk multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam melaksanakan amalan kelestarian alam sekitar menerui pengunaan tenaga boleh baharu seperti solar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah itu bertepatan dengan usaha kerajaan menerusi Pelan hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus daripada tenaga elektrik negara dijana menerusi sumber tenaga boleh baharu menjelang 2050.

“Kita ingin menggalakkan lebih banyak pihak korporat sama ada multinasional, GLC dan sebagainya turut serta dalam inisiatif kelestarian seperti ini. Kita boleh lihat sejauh mana peranan syarikat-syarikat ini dalam melaksanakan penggunaan tenaga solar.

“Saya sering menyatakan bahawa kita selalu fokus kepada tindakan individu seperti diri kita, keluarga, anak-anak dan sebagainya. Itu memang penting tetapi sebenarnya ada dua ‘pemain besar’ dalam agenda kelestarian - individu dan syarikat besar,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan 2,668 panel solar di IKEA Damansara hari ini.

Turut hadir Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia Malcolm Pruys.

Pemasangan panel solar meliputi kawasan bumbung hampir 12,000 meter persegi di premis itu dijangka menjana dua megawatt-jam (MWj) tenaga setiap tahun dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon kira-kira 1,330 tan setahun.

Menerusi penambahan itu, IKEA Malaysia kini mempunyai 20,437 panel solar yang dipasang di semua gedung serta pusatnya di seluruh negara, sekali gus menjadikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui IKEA Malaysia mencecah 6.3 MWj setahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan