KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Harga minyak global terus menerima tekanan berikutan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Rystad Energy hari ini.
Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata tekanan itu ditingkatkan lagi dengan langkah tarif oleh AS, unjuran bekalan yang meningkat dari OPEC+, serta penyusutan anggaran permintaan minyak oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan OPEC, sekali gus mencetuskan penurunan keyakinan dalam kalangan pelabur.
Ketegangan yang berterusan antara AS dan China dijangka turut terus menekan harga minyak, menyebabkan harganya semakin lemah serta menyeret turun harga produk yang berkaitan, katanya.
Analisis firma itu juga mendapati perang perdagangan yang berpanjangan berpotensi menurunkan sehingga separuh daripada pertumbuhan permintaan minyak China yang diunjurkan sebanyak 180,000 tong sehari menjelang 2025, sekiranya risiko menurun terhadap prospek ekonomi negara itu menjadi kenyataan.
Ia juga menyatakan bahawa ketegangan antara AS-China dan AS-Iran saling berkait rapat.
Ketua pasaran komoditi global (minyak) Rystad Energy, Mukesh Sahdev berkata rundingan nuklear AS-Iran yang berlangsung di Rom pada hujung minggu lepas menambahkan lagi ketidaktentuan dalam pasaran minyak. Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai berita berunsur negatif kepada pasaran.
“Walaupun rundingan nuklear AS-Iran menunjukkan kemajuan, halangan lebih besar adalah hubungan antara AS dan China, terutamanya berkaitan sekatan terhadap pembeli minyak mentah Iran dari China. Meskipun terdapat gencatan senjata sempena Easter di Ukraine, Rusia hari ini bukan lagi Rusia yang mampu menggerakkan pasaran dengan jumlah eksport besar.
“Kelesuan geopolitik mula dirasai, apabila pasaran hanya memberi reaksi sederhana terhadap peristiwa-peristiwa seperti ini,” katanya.
Mukesh berkata kemajuan utama seterusnya akan bergantung kepada bagaimana hubungan AS-China berkembang.
Rystad Energy turut menyatakan bahawa peningkatan bermusim dalam permintaan minyak semasa musim panas akan menjadi faktor utama untuk diperhatikan, selain perbezaan antara permintaan penapisan dan bekalan minyak mentah.
Asas pasaran menunjukkan kemungkinan kenaikan harga minyak daripada paras semasa US$67 setong (Brent) kepada sekitar US$70 setong.
Perang Perdagangan Timbulkan Risiko Terhadap Unjuran Permintaan Minyak China
Rystad Energy berkata perang perdagangan yang berlaku ketika ini telah menggugat prospek ekonomi global, seterusnya memberi kesan kepada harga komoditi dan mengubah unjuran permintaan minyak.
Ketidaktentuan dasar tarif oleh Presiden AS Donald Trump telah mengganggu arah aliran pasaran yang asal, serta menimbulkan kebimbangan terhadap ekonomi makro dan prospek permintaan global.
“Jika hubungan perdagangan antara China dan AS terus terganggu, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China akan perlahan sebanyak satu mata peratusan,” kata firma itu.
Kesan pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan ini dijangka menyebabkan pertumbuhan permintaan minyak China menyusut sebanyak 0.47 mata peratusan, memandangkan ekonominya masih banyak bergantung kepada sektor industri dan eksport.
Namun, dengan jangkaan bahawa China akan mengumumkan lebih banyak langkah rangsangan ekonomi untuk menangani kesan perang perdagangan, Rystad Energy menjangka terdapat potensi kenaikan yang boleh mengimbangi kesan negatif tersebut.
“Secara keseluruhan, anggaran semasa menunjukkan kehilangan permintaan minyak sebanyak 90,000 tong sehari daripada paras asal 180,000 tong. Penurunan terbesar adalah dalam segmen diesel, manakala peningkatan terbesar dijangka dalam segmen nafta – yang mampu mengimbangi sebahagian daripada penyusutan permintaan,” katanya.
-- BERNAMA