AM

PM ANWAR UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA BEKAS WANITA PERTAMA SINGAPURA

22/04/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Wanita Pertama Singapura Noor Aishah Mohammad Salim, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata pemergian Noor Aishah, 91, yang merupakan balu kepada Presiden pertama Singapura Yusof Ishak, amat mengusik jiwa.

Anwar berkata Noor Aishah ialah seorang tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura pada tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka.

“Puan Noor Aishah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara, tetapi merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini. Kesederhanaan beliau ternyata menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau dan seluruh rakyat Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga almarhumah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” kata beliau.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura dalam kenyataan hari ini memaklumkan Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 4.28 pagi.

Allahyarham akan dikebumikan pada Selasa di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan pusara suaminya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan