PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 Mei ini bagi membincangkan isu tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atas Malaysia.
Perkara ini disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Ada. 5 Mei,” kata beliau kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan makluman berhubung perkara tersebut.
Tujuan sidang khas ini bagi membolehkan ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak membahaskan isu tarif AS tersebut.
Ia turut melaporkan bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa ahli Parlimen, mereka masih belum menerima sebarang surat pemberitahuan rasmi mengenai sesi tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan melawat Washington, AS pada 24 April ini.
Dalam lawatan selama dua hari itu, beliau akan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer bagi membincangkan isu tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia.
Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia juga akan bertemu dengan beberapa dewan perniagaan, syarikat dan kumpulan berkepentingan untuk menerangkan pendirian negara serta maklum balas daripada Kabinet.
-- BERNAMA