AM

KEDAH SEDANG KENAL PASTI VARIETI BENIH PADI UNTUK DIHASILKAN SENDIRI

22/04/2025 02:27 PM

ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Kedah masih di peringkat mengenal pasti varieti benih padi yang akan dikeluarkan untuk kegunaan para pesawah di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani berkata pihaknya mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kajian Pertanian Organik Terpadu di Malang, Indonesia bagi tujuan itu baru-baru ini.

“Terdapat dua varieti yang akan dibuat kajian mendalam iaitu varieti HMS700 dan HMS70D untuk melihat kesesuaian ditanam di Kedah.

“Pengeluaran benih padi yang baharu perlu diperkenalkan segera untuk memaksimumkan pengeluaran hasil padi di negeri ini,” katanya pada sesi pertanyaan lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) yang ingin tahu perkembangan rancangan kerajaan negeri untuk mengeluarkan benih padi sendiri.

Sebelum ini, Kedah dilaporkan berhasrat menjadi pengeluar varieti benih padi sendiri bagi meningkatkan hasil pengeluaran, sekali gus menambah pendapatan golongan petani.

Mengulas lanjut, Dzowahir berkata kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Agensi Nuklear Kebangsaan dan Universiti Teknologi MARA untuk mengembangkan benih padi sedia ada kepada varieti baharu.

Tambah beliau, usaha itu tidak hanya terhad dalam negara tetapi turut melibatkan institusi luar negara antaranya China Agriculture Technology Institute di Chongqing, China yang menawarkan usahasama untuk membawa masuk benih padi hibrid yang dikatakan dapat meningkatkan hasil padi sehingga 19 tan per hektar.

“Banyak negara pengeluar beras telah mengguna pakai varieti benih padi hibrid ini, yang terbukti dapat meningkatkan hasil seperti India, Vietnam, Thailand dan Myanmar,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan