Oleh Amirul Mohd Sajadi
TAPAH, 22 April (Bernama) -- Ketika permainan tradisi semakin dilupakan, sekumpulan penduduk Kampung Kassim, Tapah Road di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini masih berkumpul hampir setiap petang untuk bermain Chapteh atau sepak bulu ayam.
Gelak tawa mereka setiap kali menyambut hantaran bola bulu ayam yang menyerupai bulu tangkis itu, menghidupkan suasana desa.
Seperti bermain sepak raga, permainan Chapteh menuntut ketangkasan kaki, imbangan badan dan kecekapan mata pemain.
Peniaga gerai makanan Ismail Mohd Ali, 43, ketika ditemui Bernama berkata selain membantu mengekalkan kecergasan dengan cara menyeronokkan, permainan itu mengajar nilai kerjasama, tumpuan dan kesabaran.
"Bila kita main bersama-sama, hubungan sesama penduduk pun jadi lebih erat,” katanya yang menjadikan permainan itu sebagai aktiviti riadah bagi menghilangkan lelah bekerja.
Ismail berkongsi minatnya terhadap permainan sepak bulu ayam berputik sejak kecil lagi selepas melihat bapanya bermain Chapteh bersama rakan-rakan sekampung.
"Bila tengok anak-anak sekarang lebih leka dengan telefon, kami rasa terpanggil untuk teruskan tradisi ini,” katanya.
Salleh Iman, 40, berkata minat generasi muda pada permainan tradisional itu boleh dipupuk asalkan mereka diberi peluang untuk mencuba.
“Kadang-kadang kanak-kanak tengok kami main, mereka pun nak cuba. Dari situ kami ambil peluang ajar mereka supaya permainan ini tidak hilang begitu sahaja,” katanya yang melakukan kerja-kerja kampung.
Menurut Salleh, mereka juga mengajar generasi muda cara tradisional pembuatan bola bulu ayam menggunakan gabus dan bulu ayam meskipun pada masa ini bola berkenaan sudah boleh dibeli secara dalam talian dengan harga sekitar RM35 seunit.
Seorang lagi pemain Chapteh, Abdul Khadir Ismail, 39, berharap permainan itu dipopularkan semula menerusi penganjuran pertandingan sama ada di peringkat kampung atau di peringkat negeri dan kebangsaan.
Pemandu lori itu berkata usaha mempopularkan permainan berkenaan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sekolah dan pertubuhan belia.
“Kalau ada kerjasama, kita boleh adakan bengkel atau aktiviti hujung minggu. Kami pun sedia turun padang ajar generasi muda, yang penting semangat itu ada,” katanya.
Abdul Khadir berkata sepak bulu ayam perlu menjadi simbol identiti kampung, lambang perpaduan dan warisan budaya yang wajib dikekalkan untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA