KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 302 pesara kerajaan di Pahang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh tiga tahun bermula 2022, dengan jumlah kerugian lebih RM20 juta, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Sim Chon Siang.
Beliau berkata pada 2022, sebanyak 85 pesara menjadi mangsa dengan kerugian lebih RM8.9 juta manakala 2023 merekodkan 102 pesara dan kerugian RM3.7 juta, selain 115 pesara dengan kerugian RM8.9 juta dicatatkan tahun lepas.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 5,658 individu lain telah menjadi mangsa penipuan dalam talian dengan kerugian RM120 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Sim berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wong Tat Chee (ADUN Lantikan) yang ingin tahu jumlah rakyat Pahang terperdaya dengan penipuan dalam talian bagi tempoh tiga tahun dan jumlah kerugian melibatkan pesara kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan, kerajaan negeri menerusi Dasar Pendidikan Digital telah melaksanakan Projek Rintis Sekolah Hibrid Negeri Pahang di enam sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dan SMK Sultanah Hajjah Kalsom di Kuantan, SMK Seri Jengka (Maran), SMK Padang Saujana (Jerantut), SMK Sulaiman (Bentong) serta SMK Agama Kuala Lipis (Lipis).
Projek rintis di sekolah terlibat membabitkan lima kelas bagi setiap sekolah menjadikan jumlah keseluruhan 30 kelas, selain turut terlibat ialah Sekolah Kampung Angkat MADANI KPM iaitu SMK RPS Betau di Lipis, dengan peruntukan dua kelas.
Mohd Soffi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku), yang ingin tahu senarai sekolah dan bilangan kelas terlibat perintis pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital dan sumber dana bagi membantu sekolah luar bandar menjayakan dasar terbabit.
-- BERNAMA