AM

SULTAN NAZRIN LANCAR BUKU ‘HELANG SAMUDERA: PERISAI MARITIM’

22/04/2025 03:09 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Helang Samudera: Perisai Maritim’, yang diterbitkan bersempena ulang tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). 

Buku setebal 180 muka surat itu menggambarkan dedikasi Maritim Malaysia sebagai institusi utama dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Saifuddin Nasution dalam ucapannya menyifatkan penerbitan naskhah berkenaan sebagai satu penghormatan besar buat wira maritim negara yang selama dua dekad mempertaruhkan keselamatan diri demi kedaulatan perairan negara.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi khazanah bernilai tinggi memaparkan keberanian, kecekalan dam dedikasi anggota Maritim Malaysia dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan dan operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya di sini hari ini.

Menzahirkan penghargaan kepada dedikasi anggota Maritim Malaysia, beliau turut menyentuh tentang perolehan kapal dan helikopter yang bakal menjadi aset agensi itu bagi memperkukuh pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Dilaporkan, Maritim Malaysia bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye, Mullti Purpose Mission Ship (MPMS) yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027.

Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta mempunyai, ruang pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

Kapal berukuran 99 meter panjang yang boleh membawa 70 kru dan 30 penumpang itu akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan orang.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memuktamadkan proses perolehan empat helikopter bernilai RM600 juta bagi Maritim Malaysia.

Buku mewah itu diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara memerihalkan naratif visual berkualiti tinggi dan cerita operasi sebenar yang tidak pernah dikongsi kepada khalayak umum.

Bagi memperluas manfaat dan kesedaran awam terhadap peranan Maritim Malaysia, buku itu akan diedarkan ke perpustakaan seluruh negara, termasuk sekolah dan universiti.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan