KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Pahang dicadang membangunkan aktiviti memerhati burung atau Avitourism sebagai produk pelancongan premium.
Cadangan itu dinyatakan Rizal Jamin (ADUN Lantikan) yang berkata aktiviti berkenaan, mula mendapat sambutan daripada golongan berpendapatan tinggi terutamanya pelancong asing.
Beliau berkata aktiviti rekreasi itu, melibatkan inventori burung di sesuatu kawasan habitat dan melakukan kiraan penemuan spesies burung, terutamanya yang sukar ditemukan di sesuatu tempat.
Rizal berkata menurut sebuah syarikat penyelidik Grand View Research, saiz pasaran Avitourism itu berjumlah hampir USD63billion (RM283bil) pada peringkat global 2023 dan bakal meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang.
“Menurut jurupandu yang terlibat dengan aktiviti ini, kadar upah Avitourism sekitar RM500 sehari dan ini merupakan satu pulangan yang besar bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar.
“Sehubungan itu, saya suka mencadangkan supaya aktiviti Avitourism ini dijadikan antara produk pelancongan untuk dibangunkan di Pahang, mungkin boleh dimulakan dengan melatih jurupandu untuk mengendalikan aktiviti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA