AM

TAKLIMAT AWAL PTTM 2025-2035 DIKEMUKAKAN KEPADA PERDANA MENTERI - ZAMBRY

22/04/2025 10:26 PM

TAPAH, 22 April (Bernama) -- Taklimat awal Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dilancarkan tahun ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry berkata draf pelan yang bakal memberikan dimensi baharu kepada pendidikan tinggi negara itu, sebelum ini diserahkan secara rasmi kepadanya oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Taklimat awal kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun dikemukakan. Kita cuma menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkannya tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach KPT@Tapah di sini, hari ini.

Sebelum ini Zambry berkata KPT dalam proses akhir untuk memuktamadkan PPTM 2025-2035 susulan pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak ditawarkan tempat ke institusi pengajian tinggi (IPT) supaya tidak berputus asa dan memilih aliran kemahiran untuk meneruskan pengajian mereka.

“Sistem pendidikan dan struktur pendidikan yang ada pada hari ini sudah berubah. Ia bukan hanya lagi tertakluk kepada universiti semata-mata. Jadi laluan kepada proses pembelajaran bukan hanya terkhusus kepada laluan universiti.

“Hari ini kerajaan MADANI kita telah mengubah situasi itu iaitu terkhusus juga dalam bidang teknikal dan kita memberikan penekanan yang sama dengan bidang akademik,” katanya.

Dalam pada itu beliau menasihati lulusan SPM terutama yang mendapat keputusan cemerlang agar tidak menolak sebarang tawaran kerana KPT akan berusaha memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Antara program tajaan yang disediakan ialah bantuan kewangan asasi ke universiti awam, bantuan kewangan Orang Kurang Upaya (OKU), bantuan kewangan pelajar politeknik dan Kolej Komuniti.

Keputusan SPM 2024 akan diumumkan Khamis ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan